Lembaran Kerja Amali Solat (Wuduk) 01


Untuk panduan guru2 yang mengajar subjek Pendidikan Islam Pendidikan Khas (j-QAF), di sini ada sedikit lembaran kerja bahagian amali solat (wuduk) buat perkongsian.

Lembaran Kerja Bulatkan Anggota Wuduk Mengikut Turutan.


Lembaran Kerja Warnakan Anggota Wuduk.

Untuk mendownload bolehlah klik pada link tertera di bawah.



Lembaran Kerja Warnakan Anggota Wuduk.

 
Guru2 boleh juga mengubahsuai supaya pelajar mewarnakan gambar sebagai ganti bulatkan.

Sekian. Terima Kasih.

Guru: Kerjaya Impianku


Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah lima bulan aku berstatus guru, atau lebih spesifik, ustazah. Begitu cepat masa berlalu. Begitu singkat rupanya kembaraku. Tapi begitu banyak halangan dan rintangan yang perlu ditempuhi untuk menjadi seorang guru sepertimana pernah aku impikan.

Ada seorang kawan bertanya, bagaimana perasaan setelah lima bulan bergelar guru?

Mendengar pertanyaan sebegitu, pertama sekali yang dapat aku rasakan, bibir aku mengukir senyuman. Senyuman yang lebar. Dan hati juga berirama dalam diam. Meski guru adakalanya mengeluh, kerja bertimbun, murid-murid buat perangai, rakan guru juga ada yang sukakan kita, dan ada juga yang berpura-pura sahaja, itu lumrah. Tapi dengan semua itu, jika masih mampu buat kita tersenyum, percayalah, kita gembira menjadi seorang guru.

Semua pekerjaan, tidak kira di mana dan apa pun pilihan, setiapnya pasti ada kemanisan, dan kepahitan. Tak perlu tengok dan bandingkan kerjaya kita dengan kerjaya orang lain, setiap orang ada halangan yang dirasakan berat padanya, tapi ringan pada mata orang lain.


Sama seperti ketika kita bersedih, orang lain hanya mampu melihat dan bersimpati, tapi yang menanggung tetap kita seorang diri. Kecuali orang tersebut pernah alami perkara yang sama, walaupun situasi mungkin berbeza.

Meski sebesar manapun cabaran telah ditempuhi, dan mungkin bakal dihadapi, kecekalan dan ketabahan diri itu yang penting. Sebagai seorang guru, laluannya bukan mudah. Lebih-lebih lagi sebagai seorang ustazah. Mengapa aku kata demikian? Sebabnya bidang pendidikan Islam umpama bidang terjun bagi aku.

Perjalanan hidupku menjadi seorang guru bukan mudah. Meski guru adalah kerjaya impianku sejak kecil, aku masih dalam peringkat mecari-cari sehinggalah berakhirnya hidup sebagai undergraduate student.

Kenapa tercari-cari? Sebab aku selalu bertanya pada diri, betulkah aku sememangnya ingin menjadi seorang guru? Atau mungkin sebab ibu dan bapaku merupakan guru, jadi aku terpengaruh oleh mereka.

Sewaktu mengisi borang UPU, aku cuba elakkan mengisi mana-mana yang berkaitan dengan ijazah pendidikan. Bagi aku, jika memang aku ingin menjadi guru pada suatu hari nanti, aku akan berusaha mencapainya. Dan pada masa itu, kekaburan mencorakkan masa hadapan itu masih ada. Impian juga masih berjuta-juta sehingga tak terhitung.

Pernah aku ingin menjadi seorang wartawan, tapi aku takut berhadapan dengan orang ramai. Pernah juga terfikir untuk menjadi seorang penulis, tapi bimbang penulisanku akan menimbulkan keaiban. Lalu aku terus tercari-cari, imaginasi mengenai kerjaya sememangnya tak pernah padam. Jika pilih kerjaya sebegini, beginilah gayanya, gajinya, dan jalan hidupnya.

Akhirnya bila ada peluang, galakan, dan sokongan daripada ibu bapa tercinta, rakan-rakan seperjuangan, dan handai taulan serta semua orang, aku beranikan diri isi permohonan untuk menjadi guru j-QAF. Anehnya, pada masa itu juga, tanpa ada keraguan dan kemusykilan, terus sahaja aku isi j-QAF Pendidikan Islam Pendidikan Khas.

Alhamdulillah. Meski baru berkecimpung dalam bidang pendidikan khas, tapi dengan berkat tunjuk ajar dan bantuan rakan-rakan, aku berjaya bertahan, bahkan rasa semakin sayang dan suka pada kerjaya ini.

Dan jika dulu, aku ragu-ragu untuk menyatakan bahawa kerjaya impianku seorang guru, kini dengan penuh keyakinan, aku bagi nasihat dan pandangan pada yang memerlukan, pilihlah apa pun bidang yang anda mahu ceburi, meski tidak berkaitan dengan kerjaya impian, tapi bila hati anda kembali bertaut dengan impian kecil itu, inshaAllah jalannya akan sentiasa ada untuk kita mencapai apa yang diimpikan. Tetapi usaha dan sabar adalah mesti. Doa dan tawakkal juga jangan dilupakan. Itulah kunci kejayaan kita.

Allah lebih mengetahui segalanya dan Dia hanya perlu berkata 'Kun' Fayakun~