Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah lima bulan aku
berstatus guru, atau lebih spesifik, ustazah. Begitu cepat masa berlalu. Begitu
singkat rupanya kembaraku. Tapi begitu banyak halangan dan rintangan yang perlu
ditempuhi untuk menjadi seorang guru sepertimana pernah aku impikan.
Ada seorang kawan bertanya, bagaimana perasaan setelah lima
bulan bergelar guru?
Mendengar pertanyaan sebegitu, pertama sekali yang dapat aku
rasakan, bibir aku mengukir senyuman. Senyuman yang lebar. Dan hati juga
berirama dalam diam. Meski guru adakalanya mengeluh, kerja bertimbun,
murid-murid buat perangai, rakan guru juga ada yang sukakan kita, dan ada juga
yang berpura-pura sahaja, itu lumrah. Tapi dengan semua itu, jika masih mampu
buat kita tersenyum, percayalah, kita gembira menjadi seorang guru.
Semua pekerjaan, tidak kira di mana dan apa pun pilihan,
setiapnya pasti ada kemanisan, dan kepahitan. Tak perlu tengok dan bandingkan
kerjaya kita dengan kerjaya orang lain, setiap orang ada halangan yang
dirasakan berat padanya, tapi ringan pada mata orang lain.
Sama seperti ketika kita bersedih, orang lain hanya mampu
melihat dan bersimpati, tapi yang menanggung tetap kita seorang diri. Kecuali
orang tersebut pernah alami perkara yang sama, walaupun situasi mungkin
berbeza.
Meski sebesar manapun cabaran telah ditempuhi, dan mungkin bakal
dihadapi, kecekalan dan ketabahan diri itu yang penting. Sebagai seorang guru,
laluannya bukan mudah. Lebih-lebih lagi sebagai seorang ustazah. Mengapa aku
kata demikian? Sebabnya bidang pendidikan Islam umpama bidang terjun bagi aku.
Perjalanan hidupku menjadi seorang guru bukan mudah. Meski
guru adalah kerjaya impianku sejak kecil, aku masih dalam peringkat mecari-cari
sehinggalah berakhirnya hidup sebagai undergraduate student.
Kenapa tercari-cari? Sebab aku selalu bertanya pada diri,
betulkah aku sememangnya ingin menjadi seorang guru? Atau mungkin sebab ibu dan
bapaku merupakan guru, jadi aku terpengaruh oleh mereka.
Sewaktu mengisi borang UPU, aku cuba elakkan mengisi
mana-mana yang berkaitan dengan ijazah pendidikan. Bagi aku, jika memang aku
ingin menjadi guru pada suatu hari nanti, aku akan berusaha mencapainya. Dan
pada masa itu, kekaburan mencorakkan masa hadapan itu masih ada. Impian juga
masih berjuta-juta sehingga tak terhitung.
Pernah aku ingin menjadi seorang wartawan, tapi aku takut
berhadapan dengan orang ramai. Pernah juga terfikir untuk menjadi seorang
penulis, tapi bimbang penulisanku akan menimbulkan keaiban. Lalu aku terus
tercari-cari, imaginasi mengenai kerjaya sememangnya tak pernah padam. Jika
pilih kerjaya sebegini, beginilah gayanya, gajinya, dan jalan hidupnya.
Akhirnya bila ada peluang, galakan, dan sokongan daripada
ibu bapa tercinta, rakan-rakan seperjuangan, dan handai taulan serta semua
orang, aku beranikan diri isi permohonan untuk menjadi guru j-QAF. Anehnya,
pada masa itu juga, tanpa ada keraguan dan kemusykilan, terus sahaja aku isi
j-QAF Pendidikan Islam Pendidikan Khas.
Alhamdulillah. Meski baru berkecimpung dalam bidang
pendidikan khas, tapi dengan berkat tunjuk ajar dan bantuan rakan-rakan, aku
berjaya bertahan, bahkan rasa semakin sayang dan suka pada kerjaya ini.
Dan jika dulu, aku ragu-ragu untuk menyatakan bahawa kerjaya
impianku seorang guru, kini dengan penuh keyakinan, aku bagi nasihat dan
pandangan pada yang memerlukan, pilihlah apa pun bidang yang anda mahu ceburi,
meski tidak berkaitan dengan kerjaya impian, tapi bila hati anda kembali
bertaut dengan impian kecil itu, inshaAllah jalannya akan sentiasa ada untuk
kita mencapai apa yang diimpikan. Tetapi usaha dan sabar adalah mesti. Doa dan
tawakkal juga jangan dilupakan. Itulah kunci kejayaan kita.
Allah lebih mengetahui segalanya dan Dia hanya perlu berkata 'Kun' Fayakun~